Friday, April 24, 2009

IBU susuan


Sejak kebelakangan ini, tajuk ini sering di diperkatakan masyarakat berhubung pengambilan pil hormon atau suntikan sebagai penggalak susu badan oleh wanita yang belum berkahwin bagi menyusukan anak angkat mereka.

Perkara ini telah dibangkitkan seawal tahun ini sebagaimana pada 1 Januari 2007 di Akhbar Bernama bertajuk "Wanita Bujang Susukan Anak Angkat Jejas Struktur Sosial Negara".

"Kecenderungan sesetengah wanita profesional bujang yang mengambil pil penggalak susu badan untuk menyusukan bayi angkat mereka adalah perkara yang kurang baik kerana ia menjejaskan struktur sosial", kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Susulan daripada itu, masih belum ada ketetapan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan bagi menghalal atau mengharamkan seseorang wanita yang belum berkahwin mengambil pil hormon bagi menyusukan anak angkat mereka sebagaimana yang nukilkan dari Akhbar Utusan bertarikh 30 Jun 2007 bersamaan 14 Jamadil Akhir 1428 bertajuk "Belum ada fatwa wanita bujang susui anak angkat"

Sementara menunggu keputusan fatwa berhubung perkara tersebut dibuat, persoalan tentang adakah ibu tersebut akan menjadi ibu susuan manakala anak tersebut pula menjadi anak susuan walaupun ibu tersebut belum bersuami?.

Sepanjang pemerhatian saya,tiada syarat untuk menjadi ibu susuan, seseorang wanita itu perlu berkahwin dan disetubuhi.

Sekiranya seseorang bayi menyusu dari seseorang wanita mengikut syarat-syaratnya iaitu berusia kurang dari dua tahun dan lima kali kenyang mengikut mazhab Syafi'e maka bayi tersebut akan menjadi anak susuan dan memberi kesan terhadap nasab.

Namun untuk kepastian,persoalan ini telah saya ajukan kepada Al-Fadhil Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki melalui pesanan ringkas(sms).Beliau menjawab "akan jadi anak susuan dan itu termasuk suatu hal yang baru yang boleh membawa khilaf dikalangan ulama"

Berbalik kepada hukum menyuntik hormon sebagai penggalak susu Al-Fadhil Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki menjawab"Kalau memang ada hajat atau keperluan yang memaksa ok lah".

Oleh yang demikian,kemungkinan persoalan yang boleh ditimbulkan di dalam permasalahan ini adalah:

Adakah terdapat hajat dan keperluan yang memaksa untuk menyuntik atau memakan pil hormon penggalak susu bagi wanita yang belum berkahwin?

Bagi wanita yang sudah berkahwin dan baru memiliki anak namun tiada susu untuk menyusukan anak tersebut lalu mengambil pil atau suntikan hormon penggalak susu merupakan hajat dan keperluan bagi wanita tersebut untuk menyusukan anaknya.{hanya kebarangkalian ibu tersebut tidak memiliki susu}

Manakala bagi wanita yang belum berkahwin mengambil pil atau menyuntik hormon di dalam badan untuk menyusukan anak angkatnya,saya masih lagi mencari cari adakah ada hajat dan keperluan wanita yang belum berkahwin ini bertindak mengambil pil atau menyuntik hormon penggalak susu.Buat masa ini saya tidak melihat ada hajat dan keperluan untuk wanita tersebut.

Saya tinggalkan tentang hajat dan keperluan tersebut untuk memberi tumpuan pada kesan pengambilan pil atau hormon tersebut.

Sekiranya terdapat kesan sampingan yang boleh memudharatkan wanita tersebut hasil daripada pengambilan pil atau suntikan hormon penggalak susu,tentunya perbuatan ini tidak dibenarkan oleh syara'.

Firman Allah s.w.t:

وَلاَ تُلْقُوا بِأَيْدِيكُم إِلىَ التَهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan.

(Surah Al Baqarah :195)

Nabi kita Muhammad s.a.w bersabda:

لاَضَرَروَلاَضِرَار

Maksudnya:Tidak boleh memberi mudharat dan menerima mudharat

Dalil dalil ini jelas menunjukkan bahawa syara' tidak membenarkan pengambilan ubat atau suntikan hormon sekiranya boleh membawa mudharat kepada sesorang individu.Untuk mengetahui mudharat ataupun tidak kita serahkan pada ahlinya iaitu doktor kesihatan.

Seterusnya untuk mengetahui bahan di dalam pil dan hormon tersebut saya tidak ketahui kerana saya bukan ahlinya.Justeru itu,sekiranya bahan di dalam pil atau hormon tersebut terdiri daripada bahan yang diharamkan maka pengambilan tersebut diharamkan.

Dan di antara perkara yang perlu diperhatikan di sana adakah terdapat mafsadah dari tindakan mengambil pil atau menyuntik hormon di dalam badan sebagai penggalak susu?

Kebarangkalian mafsadah yang saya cuba senaraikan adalah.

-Akan berlaku suatu golongan wanita yang tidak mahu berkahwin tetapi inginkan anak.Dengan cara dan jalan yang mudah mereka akan mengambil anak angkat kemudian mengambil pil atau suntikan hormon penggalak susu untuk menjadi ibu susuan.Dengan cara itu,wanita tersebut memperoleh anak susuan yang batas pergaulan dan muamalahnya termasuk aurat,perkahwinan dan sebagainya sama seperti ibu dan anak.

-Institusi kekeluargaan akan terbantut kerana ramai wanita tidak lagi mahu berkahwin tetapi boleh memiliki anak angkat sebagaimana kebarangkalian tadi.

-Setiap wanita boleh menjadi ibu tanpa berkahwin.

-Tiada lagi istilah ibu angkat kerana semua wanita boleh menjadi ibu susuan.

-Menyalahi kebiasaan.

-Akan berlaku fitnah terhadap wanita tersebut kerana susu akan terhasil daripada kehamilan.

Kaedah feqhiah mengatakan

دَرءُ الْمَفََاسِد أولَى مِن جَلب المَصَالِح""

Maksudnya:Menolak mafsadah lebih utama daripada meraih keuntungan

Di antara faktor kemungkinan yang boleh disenaraikan bagi punca wanita bujang menyusukan anak melalui pengambilan pil atau suntikan hormon penggalak susu adalah:

-Wanita yang sudah berusia lanjut dan belum berkahwin tetapi ingin memiliki anak.

-Naluri wanita yang inginkan anak tetapi tidak mampu memilikinya atas sebab usia ataupun mandul.

-Kepentingan kerjaya sehingga tidak mahu berkahwin tetapi ingin memiliki anak dan tidak mahu mengharungi kehidupan berumahtangga.

Wallahu A'lam.

-Segala komen dan teguran anda amat di alukan

Bayi Tabung UJi


Sejarah Bayi Tabung Uji.

Ahli-ahli sains telah lama membuat kajian mengenai kemungkinan seseorang wanita boleh hamil tanpa mengadakan hubungan jenis dengan lelaki. Kehamilan akan berlaku apabila air mani lelaki dapat menyusup masuk ke anggota peranakan. Walau bagaimana pun, perkara ini dianggap menyimpang jauh di fikiran orang-orang dahulu dan sekadar berlegar menjadi dongengan dan kisah khayalan. Selain itu, kehamilan sebegini diangkat menjadi silsilah kelahiran pimpinan agama Hindu dan Buddha.

Saintis ulung, Ibnu Khaldun dan beberapa orang ahli falsafah Islam sebelum beliau seperti Ibnu Sina dan al-Farabi telah mencetuskan idea penciptaan yang menyerupai persoalan yang kita bincangkan ini. Idea sebegini dikemukakan ketika beliau membahaskan perihal kimia mengikut pendapat generasi terdahulu di dalam penulisan Muqaddimah beliau yang mahsyur. Beliau berkata, :

“Berpegangkan apa yang disebut oleh Ibnu Sina, Al-Farabi dan Al-Toghrani, manusia berkemungkinan akan terjadi daripada mani di dalam suasana tabi’e yang bersesuaian”.

Suasana tabi’e yang dimaksudkan adalah rahim. Kemudian Ibnu Khaldun berkata lagi :

“Apabila kita menerima kemungkinan tersebut dengan membuat pemerhatian dan penelitian kepada unsur-unsur, perbandingan, lingkungan dan aturcara kejadian di dalam rahim, penyelidikan terhasil memperincikan bahawa kejadian manusia benar-benar terbentuk sebegini tanpa ada suatu percanggahan dengan teori.”

Ibnu Khaldun merupakan saintis Arab muslim yang menerima kejadian manusia daripada mani, walau bagaimana pun, teori ini agak jauh dan kabur pada persepsi beliau lantaran pencapaian ilmu di zaman tersebut belum melewati tahap penemuan ini, sebagaimana kata beliau :

“Angkara cangkatnya pengetahuan manusia.”

Walaupun begitu, dalam memperkatakan sains kemanusiaan, Ibnu Khaldun menerima bahawa manusia terjadi dengan suatu proses yag cukup kompleks. Kata beliau :

“Bukanlah sesuatu yang mustahil dari sudut kelebihan dan tabiat, tetapi akal dan pengetahuan manusia tidak mampu mencapai kenyataan manusia diciptakan daripada mani, melalui kewujudan persekitaran yang sesuai.”

Dengan perkembangan penyelidikan dan pengetahuan dalam menentukan unsur-unsur yang tepat, terhasillah suatu penemuan yang dinamakan ‘bayi tabung uji’. Pencapaian sains terkini telah mampu menyediakan praktikan teknologi yang membentuk suasana dan persekitaran yang bersesuaian untuk menghasilkan kejadian manusia daripada mani, melalui proses dan kawalan yang sempurna dan padu.

Kisah penemuan ‘bayi tabung uji’ tersebar luas di mutakhir ini. Pelbagai penyelidikan dan eksperimen dijalankan oleh doktor-doktor perubatan Amerika dan begitu mendapat perhatian rakyat negara tersebut. Suatu percubaan memindahkan janin berusia lima hari dari rahim ibunya ke rahim perempuan kedua telah dibuat. Bayi ini dikandungkan selama sembilan bulan dan berjaya dilahirkan.

Untuk pertama kali dalam sejarah, seorang warga Australia berjaya melahirkan anak yang dipesum (1) daripada ovum wanita kedua. Kejayaan ini mendapat liputan istimewa dan disiarkan oleh akhbar De Bare (Perancis). Antara kandungan liputan tersebut :



(1) Percantuman sperma dan ovum (istilah utara semenanjung Malaysia)


“Seorang wanita yang tidak diketahui latar belakang dirinya telah menawarkan diri untuk menjadi ibu eksperimen, di Pusat Perubatan Long Beach. Kehadirannya disambut dan diterima doktor-doktor disitu dan memberitahunya bahawa segala persediaan untuk gerak amali eksperimen persenyawaan buatan telah dibuat. Eksperimen amali tersebut selamat dijalankan dengan mudah dan tanpa masalah.

Selepas lima hari, doktor telah mengesahkan pengovulan benih telah berlaku di rahim wanita tersebut. Bermula saat itu, kejayaan eksperimen yang dijalankan menajdi suatu kisah yang begitu menarik dan menggembirakan. Impian tinggi yang menjadi kenyataan itu dikemuka dan diserahkan kepada satu pertubuhan di Amerika, yang dinamakan Agensi Pertubuhan dan Penyelidikan Ilmu Sains Genetik; yang berperanan mengatasi masalah kemandulan para wanita.

Wanita yang menjadi ibu kontrak untuk mengandungkan janin tersebut mendapat ganjaran sebanyak 250 dollar sebulan daripada agensi tersebut sebermula berada dalam penyeliaan doktor. Dan menjadi ibu ujian kepada lahirnya ‘bayi tabung uji’ pertama di dunia. Peringkat terakhir kontrak sempurna apabila Doktor John Foster melakukan pemindahan janin tersebut ke dalam rahim wanita ke dua.

Eksperimen menggunakan dua ibu untuk mengandungkan seorang ‘bayi tabung uji’ ini dijalankan bertujuan untuk membolehkan wanita kedua yang bermasalah, untuk turut hamil. Setelah sempurna proses pemindahan janin ke dalam rahim wanita kedua, janin tersebut telah dikandungkan dengan selamat genap 28 minggu. Bayi biologi yang ditunggu-tunggu tersebut dilahirkan (1) oleh ibunya yang berusia 30 tahun dan disambut dengan gembira. Manakala ibu asalnya tidak diketahui latar belakangnya sedikit pun. Bayi yang dilahirkan adalah sempurna dan cantik serta tiada beza dengan bayi-bayi biasa.

Daripada penemuan ini, masalah kemandulan yang dihadapi oleh sesetengah pihak akan dapat diatasi. Kebanyakan kemandulan berpunca daripada tiub fallopio yang tersekat dan ovari yang tidak dapat berfungsi untuk mengeluarkan ovum. Melalui penemuan ini, kehamilan boleh dilakukan dengan aplikasi benih yang disumbang oleh wanita lain.”

Walau bagaimana pun, aplikasi penemuan ini mendapat bantahan daripada sesetengah pihak kerana dikira sebagai perjanjian perut kontrak yang melibatkan penyewaan sementara rahim seseorang wanita kepada suami perempuan yang bermasalah untuk hamil. Melalui cara ini, bayi tersebut seolah-olah dibeli oleh perempuan yang mandul, kemudian dinasabkan kepada pasangan mandul tersebut secara ‘tabanna’ ( التبنى ) . (2)

Justeru, suatu alternatif telah dirintis oleh saintis Australia untuk mengatasi bantahan ini. Ovum wanita asing disenyawakan dengan sperma suami dan terus dimasukan ke dalam rahim isteri untuk dikandungkan. Sementara saintis Amerika meneroka cara tersendiri dengan menjalankan proses persenyawaan di dalam rahim perempuan pertama dan kemudiannya terus dikandungkan oleh perempuan yang ingin menjadi ibu kepada bayi tersebut. Kedua-dua penemuan ini telah menyumbangkan suatu kemajuan dalam ilmu sains genetik. Dalam hal ini, empunya ovum tidak dikira ibu kepada bayi yang dilahirkan, sebaliknya wanita yang mengandung dan melahirkan mendapat hak untuk menjadi ibu.

b) Proses kejadian Bayi Tabung Uji.

Menurut Doktor Mohamad Ali al-Bazz, di dalam penulisan beliau, ‘Kejadian Manusia, Antara Kemajuan Perubatan dan Penjelasan al-Quran’ (3) , proses kejadian bayi tabung uji secara zatnya sangat ringkas dan mudah. Asas pembentukan bermula dengan ovum diambil setelah keluar dari ovari dan diletakan di dalam radas khas dengan perlindungan cecair fisiologi yang sesuai. Kemudian mani lelaki dicantumkan dengan ovum tersebut untuk tersenyawa. Apabila persenyawaan telah sempurna membentuk zigot, sel tersebut akan membahagi dua, kemudian membentuk empat sel dan seterusnya membentuk lapan sel. Proses ini berlaku pada hari ke empat setelah berlaku persenyawaan, dan dinamakan tahap ‘morula’ yang menyerupai bentuk buah mulberri.

(1) Bayi tabung uji pertama di dunia, Louis Brown dilahirkan pada 25 Jun 1978M, Majalah al-Arabi Bil 242/1979.
(2) Menasabkan bukan anak sebagai anak sendiri.
(3) Judul Asal – Khalqul Insan Baina At-Tibb wal Quran. Terbitan Dar Saudiah, m/s 527.
Morula yang akan berubah membentuk bebola benih yang dinamakan ‘blastuta’, akan dipindahkan ke dalam rahim secepat mungkin. Blastuta akan melekat di dinding rahim untuk membentuk kejadian seterusnya dan kandungan dibesarkan sehingga dilahirkan.

Untuk menghasilkan bayi tabung uji, biasanya beberapa ovum diperlukan untuk disenyawakan dengan sperma. Menurut Doktor Zaid al-Kailani, ketua bahagian perubatan kemandulan di negara Jordan, lebih satu ovum diperlukan untuk proses persenyawaan kerana satu ovum sahaja tidak menjamin kejayaan proses tersebut. Di sinilah timbul keraguan tentang kemungkinan terdapat lebihan nutfah (zigot) di luar rahim. (1)




(1) Majalah Majma’ al-Fiqh al-Islami kali ke-2 bil 2 Juz 1 (1407H) 1986 m/s 493.

Semut @ serangga


Bagaimana hukum seseorang itu meminum air yang di dalamnya terdapat seekor atau beberapa ekor semut atau kerengga mati dalam bekas air (samada segelas atau satu teko atau cerek)? Adakah air itu najis atau haram diminum kerana semut itu tergolong dalam kategori bangkai. Kalau tidak haram/najis bagaimana cara mengeluarkan semut tersebut.

Jawapan

Alhamdulillah inilah jawapannya:

(1)
Berikut ini saya terjemahkan secara bebas beberapa petikan dari kitab al-Iqna’ karya Muhamad al-Khatib al-Syarbini:
["….Air mutanajis ialah air yang dimasuki oleh najis yang dapat dilihat dengan pandangan mata, di mana air itu kurang dari dua kolah, samada air itu berubah ataupun tidak. Dalilnya ialah terdapat hadis tentang air dua kolah, dan hadis:
"Apabila salah seorang dari kamu bangun dari tidur, maka jangan dia mencelup tangannya ke dalam bekas air sehingga dia mencucinya terlebih dahulu sebanyak tiga kali. Kerana tidak diketahui di mana tangannya itu berada (ketika tidurnya)."

Rasulullah s.a.w. melarang memasukkan tangan ke dalam bekas (terhadap orang yang bagun tidur) kerana dikhuatiri ada najis. Dan dapat diketahui di sini bahawa jika tidak ada kebimbangan akan mengubah sifat air, maka tidak menjadi apa-apa masalah mencelup tangan ke dalamnya.".] (Lihat: Juz.1, m/s 21)

Kata al-Khatib al-Syarbini lagi:
["…Manakala air yang sampai ukuran dua kolah atau lebih, ia akan menjadi najis jika najis yang masuk itu mengubah salah satu dari sifat-sifat air."] (Lihat: Juz.1 m/s 21)

Dapat kita simpulkan bahawa air yang dimasuki najis itu:
· Jika kurang dari dua kolah akan menjadi najis. Samada air itu berubah ataupun tidak.
· Jika air itu dua kolah ataupun lebih, maka perlu dilihat. Jika air itu berubah, maka najislah hukumnya. Jika tidak, maka air itu tetap suci.

-------
(2)
Kita teruskan melihat apa yang ditulis oleh al-Khatib al-Syarbini lagi:
["Dikecualikan dari najis di atas ialah bangkai binatang yang tidak mengalir darahnya secara semulajadi (asal kejadian). Ia dapat diketahui dengan mengoyakkan anggota badannya ketika hidup, seperti penyengat, kala jengking, cicak, lalat, kutu dan kutu anjing. Tidak seperti ular, katak dan tikus (Ia adalah binatang yang mengalir darah).

Jika ia (yang tidak mengalir darah) masuk ke dalam air atau sebagainya, maka ia tidak menajiskannya. Tetapi dengan syarat ia tidak dimasukkan dengan sengaja dan tidak mengubah sifat air berkenaan.

Alasan mengapa ia tidak menajiskan air? Kerana sukar untuk menjaganya, juga kerana terdapat hadis riwaya Bukhari:
"Apabila lalat terjatuh ke dalam minuman salah seorang dari kamu, maka benamkanlah, kemudian buangkan. Kerana salah satu dari sayapnya mengandungi racun." Iaitu sebelah kirinya. Dan terdapat di dalam satu riwayat lain, "..dan sayapnya yang satu lagi adalah penawar."]
(Lihat: Juz. 1, m/s 22)

----------
(3)
Kembali kepada soalan saudara, jika semut atau kerangga itu masuk ke dalam air berkenaan dengan tidak disengajakan serta tidak mengubah salah satu dari sifatnya, maka ia masih tetap suci.

Maksud sifat air ialah rasa, bau dan warnanya.

Begitulah secara ringkas jawapannya berdasarkan mazhab Syafi’i.

Wallahu a’lam.

Saturday, April 18, 2009

Pertanyaan hukum-hukum

assalamualaikum..

Blog ini saya buat untuk memudahkan sahabat-sahabat saya untuk menanyakan persoalan² yang bermain dipikiran mereka..insyaAllah,saya akan mengupas dan mencarikn jawapan² tersebut..kepada para sahabat yang sudi memberi pendapat..sangat la saya alu²kan...jumpa lagi pada perbincangan hukum saya yang pertama nanti


 

Design by Amanda @ Blogger Buster